BAHASA MELAYU TAHUN 4
Tema :Kesihatan
Tajuk : Kepentingan menjaga kesihatan badan.

Thursday, December 8, 2011

Kepentingan Pengambilan Makanan Berkhasiat

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit yang tenat. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat. Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan" dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Corak pemakanan menentukan keadaan kesihatan kita kerana diet yang tidak teratur memburukkan kesihatan.

 
Terlalu banyak lemak dan kolesterol
Makanan seperti daging telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol. Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolesterol menjadi punca utama sakit jantung. Makanan berproses dan snek seperti kentang goreng dan kerepek juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol begitu juga dengan makanan jualan penjaja.

Terlalu banyak gula
Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat. Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh. Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.

Terlalu banyak garam
Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi terlalu banyak garam. Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok. Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).

Terlalu sedikit serat
Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70 - 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat di dalam usus besar dan mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.

Setiap manusia mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu anda harus menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri anda. Untuk memastikan anda makan berlebihan, anda mungkin perlu menimbang berat badan dari semasa ke semasa atau perhatikan sama ada terdapat perubahan ketika berpakaian iaitu sama ada pakaian kian sendat atau tetap seperti biasa.

Kita perlu mengimbangi tenaga (makanan) yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Jika anda berkejar ke sana ke mari sepanjang hari, bererti anda telah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding jika anda hanya duduk sepanjang masa. Jika anda memakan melebihi keperluan tubuh, maka lebihan makanan itu akan tersimpan sebagai lemak.
 
Keburukan Makanan Segera

 
Penggunaan bahan pengawet dalam makanan segera banyak memberi kesan buruk terhadap kesihatan kita. Makanan segera menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang tinggi kerana ia diproses dan diawet untuk memastikannya tahan lama. Selain itu, kandungan lemak dalam makanan segera juga lebih tinggi berbanding bahan mentah biasa. Memakan makanan segera dalam kuantiti tidak terkawal akan mendedahkan kita kepada pelbagai jenis penyakit seperti:
a) Kerosakan gigi
b) Sembelit
c) Tekanan darah tinggi
d) Pembuluh darah tersumbat
e) Obesiti
f) Kenaikan tahap kolesterol


Burger daging:
Mengandungi 4 gram lemak tulen. la membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.

Ayam goreng:

Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperoleh dari lemak). Banyak garam. la membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.

Kentang goreng:

Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.

Susu kocak;
Susu ini bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemuisi. la juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.

Minuman berasaskan Kola:

Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula. Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanannya kosong.

Garam
Secara purata seseorang itu memeriukan tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji burger boleh mengandungi dua hingga tiga gram garam.

Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Bahan pemanis berkalori rendah aspartam, pernah dilaporkan membawa kesan sampingan mudarat
kepada pengguna. Tetapi pemerhatian berterusan pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat selama lebih sepuluh tahun gagal memperoleh bukti kukuh tentang kesan bahaya bahan ini. Demikian juga halnya dengan sesetengah aditif makanan yang dicampurkan ke dalam makanan ringan untuk kanak-kanak dan remaja.

Serat
Serat terkandung di dalam buah-.buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. la juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses dan ia hampir tidak mengandungi serat. Serat tidak terdapat di dalam burger ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad sahaja yang mengandungi sedikit serat.

Vitamin dan zat galian

Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan susu, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun, kandungan semua zat pemakanan ini tidak mencukupi dan terlalu sedikit.

Kesimpulannya, makanan segera bukanlah pilihan makanan yang terbaik kerana kandungannya yang tidak berkhasiat. Sebaliknya, kita semua digalakkan memakan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak lama. Ini lebih menyihatkan dan baik untuk kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Diet anda menentukan keadaan kesihatan anda sepertimana pepatah diri anda ialah apa yang anda makan. Oleh itu penting bagi anda mengamalkan tabiat makan yang baik dari peringkat muda lagi.